Majlis Makan Beradat sempena Sambutan Hari Polis Ke-105




Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei





GADONG, Khamis, 22 Januari. - Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) baru-baru ini telah mengadakan Majlis Makan Beradat sempena Sambutan Hari Polis Ke-105, bertempat di Dewan Bankuet Mes PPDB, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.


Turut hadir, Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan; Pesuruhjaya Polis, PPDB, Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin; serta Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris.


Semasa majlis berkenaan, tetamu kehormat majlis berkesempatan beramah-mesra bersama pegawai-pegawai kanan PPDB sebelum menandatangani lembaran kenangan di Ruang Legar Dewan Bankuet, disusuli dengan sesi bergambar ramai bersama Pesuruhjaya Polis dan Timbalan Pesuruhjaya Polis serta para pengarah, timbalan pengarah dan ahli jawatankuasa Mes Pegawai.


Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Doa Selamat dan jamuan makan malam yang diiringi persembahan melodi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.


Sambutan Hari Polis Ke-105 pada tahun ini membawakan tema 'Memperkasa Pasukan Ke Arah Wawasan 2035'.

Close